Selamat Hari Lahir untuk Ibu ku yang tersayang. Seorang wanita istimewa yang Allah SWT kurniakan buat saya sebagai ibu yang amat dikasihi. Beruntungnya saya dikurniakan ibu yang hatinya sentiasa penuh dengan rasa kasih sayang, rendah diri dan sentiasa memilih untuk berfikiran baik pada setiap manusia dan keadaan.
Contoh Doa Hari Lahir Untuk Ibu
Terima kasih Allah.. Ar-Rahim, Kau kurniakan kami ibu yang penyayang
Terima kasih Allah.. Ar-Rahman, Kau hadirkan kami ibu yang pengasih.
Ya Allah Ya Hafiz.. Peliharalah, kasihilah dan sayangilah ibu kami,
sepertimana ibu mengasihi kami, sepertimana ibu menyayangi kami, sedari kecil kami hinggalah sedewasa ini.
Setiap detik masa berlalu, hanya kami yang ibu fikirkan.
Ya Allah.. Ya Qudus Ya Jalil, Engkau limpahkan rahmat dan pahala yang sebanyak-banyaknya atas setiap rindu dan derita yang ibu tanggung kerana kami anak-anaknya.
Ya Allah.. Ya Ghaffar, Engkau ampunkanlah segala khilaf ibuku dan rahmatilah ibu dalam belaian kasih sayangMu ya Allah.
Ya Allah Ya Mu’izz, Ya ‘aliy, Ya Wadud, Ya Syahid, Tinggikanlah darjat ibu, insan yang mulia dalam hidup kami, muliakanlah ibu dengan anak-anak dan menantu-menantu serta keturunan yang taat, tetap mendirikan solat dan sentiasa mendoakan.
Ya Allah.. Ya Salam, Tenangkanlah dan lapangkanlah dada ibu kami, kurniakanlah ibu hati yang sentiasa mengingati akhirat.
Ya Allah.. Ya Muqit Ya Qahhar Ya Qawiy, Kurniakanlah ibu dengan kesihatan yang baik, supaya ibu dapat beribadat dengan aman dalam menuntun cintanya mencari redhaMu ya Allah.
Read: Apa Itu Sanah Helwah – Maksud, Wishes etc
Wahai ibu yang penyayang, terlalu banyak pengharapan dan doa dari kami anak-anak ibu.
Wahai ibu yang pengasih, terlalu sedikit bakti yang kami berikan.
Wahai ibu, redhamu kami perlukan dalam menggapai redha Ilahi.
Ya Allah.. jadikanlah kami anak-anak yang taat dan bertaqwa, jadikanlah kami saham ibu yang paling mahal di akhirat nanti. Amin yarabbal’alamin.
Semoga semua doa ibu Allah makbulkan. Ibu.. kami semua sayang ibu. Sanah helwah ibu.